Friday, 19 May 2017

5. LANGKAH KE HADAPAN

5.0       LANGKAH KE HADAPAN

Berdasarkan pandangan yang diutarakan oleh, saya berpandangan bahawa seseorang guru berkualiti masa kini mesti mengikuti perubahan yang berlaku dalam masyarakat dan perkembangan antarabangsa.  Maka, guru inovasi masa kini perlu berkemahiran tinggi dari aspek Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) memandangkan pada abad ini, negara berdepan dengan cabaran globalisasi, liberalisasi, pengantarabangsaan dan pengembangan TMK.  Bagi melahirkan guru yang berinovasi, perkara paling utama yang mesti diutamakan adalah latihan kemahiran kepada bakal guru dan para guru dalam perkhidmatan.  Latihan kepada para guru praperkhidmatan bermula daripada latihan guru sama ada di Institut Pengajian Tinggi (IPTA) atau Institut Pendidikan Guru (IPG).  Pembentukan modal insan guru harus diberi keutamaan bagi untuk membolehkan pembentukan modal insan yang cemerlang.  Bertitik tolak daripada ini, maka perubahan dalam latihan perguruan yang selari dengan tuntutan perkembangan semasa merupakan suatu keperluan.

Bagi meningkatkan ilmu pengetahuan pendidikan, Mok Soon Sang, 2011, mencadangkan agar guru harus sentiasa membaca buku ilmu pendidikan, mengikuti kursus peningkatan ilmu profesionalisme keguruan serta menghadiri seminar atau konvensyen pendidikan di dalam atau luar negeri.  Guru akan keluar daripada amalan pengajaran dan pembelajaran yang lapuk hanya apabila mereka didedahkan dengan pengetahuan dan kemahiran pedagogi terkini.  (Syed Ismail bin Syed Mustapa dan Ahmad Subki bin Miskon, 2012).  Maka dalam hal ini, pelaksanaan program Latihan dalam Perkhidmatan (LDP) yang dijalankan secara berkesan akan menyumbang ke arah pembentukan guru yang inovatif seperti yang diharapkan oleh sistem pendidikan kini.

Selaras dengan transformasi pendidikan yang mementingkan TMK, menurut Zahri Ramlan dalam Pendidik bil. 58, Mac 2009, para guru di Malaysia diberi pendedahan dengan kepelbagaian kursus pengkayaan dalam kemahiran dan kompentensi menggunakan peralatan TMK seperti kemahiran perkakasan dan perisian aplikasi.  Kursus-kursus kemahiran TMK yang dilaksanakan dapat meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah sekiranya guru yang menerima kursus ini berjaya mengintegrasikan kursus yang diterima.

Di samping itu, amalan reflektif dan penyelidikan tindakan wajar menjadi amalan para guru dalam menyuburkan nilai-nilai inovasi dalam profesionalisme keguruan. Pendekatan guru sebagai penyelidik akan memberi ruang kepada guru untuk merancang sendiri inovasi seterusnya memerhati dan menilai sendiri tindakan yang dilaksanakan. (Noraini Idris dan Shuki Osman, 2009).  Hal ini akan lebih mendatangkan keberhasilan terhadap perubahan sebarang bentuk amalan dalam bilik darjah kerana individu guru sendiri melalui pengalaman dalam melaksanakan perubahan tertentu.

Galakan daripada pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) kepada para guru untuk melaksanakan inovasi merupakan sesuatu usaha dan sangat baik dan wajar diteruskan.  KPM telah memperkenalkan Pertandingan Inovasi pada peringkat  bahagian dan institusi bertujuan memupuk dan mencungkil kehebatan inovasi dalam kalangan warga kementerian.  Selain itu, KPM telah menjadikan elemen kreativiti dan inovasi sebagai satu daripada elemen yang terdapat dalam Pelan Strategik Interim Kementerian Pelajaran Malaysia 2011-2020.

Perkongsian pintar antara pihak Kementerian Pelajaran Malaysia dengan pihak swasta yang bermula apabila sistem pendidikan negara terlibat secara langsung dalam usaha melahirkan dan membekal tenaga manusia yang mempunyai kemahiran dalam bidang TMK merupakan sesuatu yang sangat bermanfaat kepada bidang pendidikan. Antara projek perkongsian pintar termasuklah program i-Think seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, Schoolnet , GSB Technology Learning in School, Program Sekolah Angkat bersama Samsung Digital Classroom, K-Perak E-Learning Cluster No.1 (KPEC) dan Cyberkids Camp.


Selain itu, budaya kolaborasi dalam pendidikan juga adalah suatu usaha yang baik dalam mempertingkatkan amalan inovasi dalam kalangan guru. Budaya ini boleh dijadikan amalan sama ada sesama guru dalam sekolah yang sama atau dalam program-program tertentu merangkumi peringkat daerah, kebangsaan bahkan antarabangsa. Penyelidkan tindakan juga boleh dijalankan secara kolaborasi. Pada era ini, terdapat juga kolaborasi guru dalam bentuk atas talian melalui pembinaan laman web tertentu seperti laman portal cikguNet dan portal pendidikan utusan. Hal ini membolehkan para guru dan pelajar berbincang serta berkongsi ilmu dan kemahiran tanpa sempadan. Adalah menjadi tanggungjawab institusi pendidikan untuk melahirkan generasi pengguna teknologi yang bertanggungjawab. Pengguna teknologi wajar dididik dengan ilmu, akhlak dan nilai-nilai murni agar mereka tidak menyalahgunakan teknologi. Sebagai kesimpulannya, pendidikan merupakan nadi kemajuan dan kejayaan sesebuah negara. Perancangan pendidikan negara harus dirangka sebaik-baiknya agar mampu melahirkan generasi berilmu pengetahuan, mempunyai kemahiran dan mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan.

No comments:

Post a Comment