1.0
PENGENALAN
1.1
TIMSS
TIMSS (Trends In International Mathematics and
Science Study) dimulakan pada tahun 1995 dan berlangsung sehingga hari ini.
TIMSS dianjurkan oleh IEA
(International Association for the Evaluation of
Educational Achievement) dan dijalankan setiap 4 tahun dan
penyertaan bagi setiap tahun berubah bergantung kepada kesanggupan dan kemahuan
sesebuah negara untuk mengambil bahagian. Malaysia tidak mengambil bahagian
pada tahun yang pertama iaitu tahun 1995 tetapi mula mengambil bahagian pada
tahun yang kedua, 1999 dengan pelajar dari gred 8 atau Tingkatan 2. 150 buah
sekolah diserata pelusuk semenanjung dan Sabah serta Sarawak dipilih secara
rawak bagi memastikan ujian dapat dijalankan secara adil
Menurut laman web rasmi
TIMSS tujuan ujian ini dijalankan adalah untuk mengukur prestasi pencapaian
matematik dan sains para pelajar dari Gred 4 dan Gred 8 (Tingkatan 2) di
peringkat antarabangsa. Objektif lainya adalah untuk membuat penilaian
pencapaian pelajar antarabangsa bertujuan untuk meningkatkan pengajaran dalam
matematik dan sains
TIMSS mementingkan
keadilan dan kebolehpercayaan sistem ujian mereka yang dijalankan disemua negara
yang terlibat. Di Malaysia, populasi yang dipilih adalah murid tingkatan2 disemua
jenis sekolah di bawah KPM. IEA menggunakan teknik Stratified Multi Stage Cluster Sampling yang membuat pemilihan
sekolah yang menyertai disaring dengan beberapa kriteria. Beberapa saringan
dibuat yang mengambil kira kawasan (semenanjung utara, barat, selatan dan timur),
sekolah bandar, luar bandar, dan jenis-jenis sekolah. Pemilihan sampel murid
pula diambil secara rawak. Sebuah kelas dipilih dari satu tingkatan di dalam
sekolah tersebut untuk menjalani ujian. Pihak KPM tidak boleh terlibat secara
langsung didalam pemilihan sekolah bagi mengelakkan berlaku pemilihan yang
tidak adil.
Rajah 1: Pemilihan Sampel dengan Menggunakan Teknik Stratified Multi Stage Cluster Sampling
Selain cara pemilihan
sampel, cara pengujian dan instrumen ujian perlu dijalankan dengan secara adil
dan teliti. IEA menggunakan beberapa instrumen di dalam TIMSS iaitu buku ujian,
soal selidik murid, soal selidik guru dan soal selidik sekolah.
Buku ujian yang dibina
mengandungi 12 jenis yang berlainan tetapi setara tahapnya. Buku ujian disediakan
oleh panel pakar dari seluruh dunia dan berbentuk aneka pilihan dan terbuka. Ia
juga disediakan dalam dwi-bahasa, Bahasa Inggeri dan Bahasa Malaysia bagi
memudahkan pelajar yang diuji menjawab soalan yang disediakan. Setiap negara
yang mempunyai bahasa rasmi mereka selain dari bahasa inggeris juga akan
disediakan dwi-bahasa.
Soal selidik pula
terbahagi kepada soal selidik murid, guru dan sekolah. Soal selidik murid
menekankan tentang sikap dan konsep kendiri murid terhadap matematik dan sains,
harapan ibu bapa dan aktivit murid didalam dan diluar sekolah. Soal selidik
guru matematik pula ditanya tentang latar belakang guru tersebut dan proses
pengajaran dan pembelajarannya didalam kelas. Selain itu, pihak sekolah juga
diberi boring soal selidik yang menekankan bilangan staf, enrolmen, peralatan,
kemudahan sekolah dan jumlah masa pengajaran.
Jadual 1 dibawah
menunjukkan Benchmark atau tahap yang
disediakan IEA untuk menilai tahap sesebuah negara. Benchmark tersebut terbahagi kepada 4 kategori Low, Intermediate, High dan
Advance Benchmark. Untuk kelas yang terendah pelajar hanya mempunyai asas
sedikit tentang asas pengetahuan matematik. Bagi kelas sederhana pelajar dapat
mengaplikasikan pengetahuan yang mereka belajar dan bagi kategori tinggi pelajar
dapat mengaplikasikan kefahamana dan pengetahuan dalam pelbagai situasi yang
lebih kompleks. Bagi benchmark yang tertinggi pelajar sudah boleh
mengorganisasikan dan membuat kesimpulan serta menyelesaikan soalan bukan
rutin.
Jadual 1: Benchmark
atau tahap yang disediakan IEA
Bagi
memastikan keadilan dan kebolehpercayaan ujian ini pihak IEA merangka
pentaksiran berdasarkan dua domain. Domain yang pertama adalah domain
kandungan. Domain kandungan dibahagikan kepada nombor 30%, algebra 30%, geometri
20% dan data and chance 20%. Seterusnya domain kognitif pula terbahagi kepada
pengetahuan 35%, aplikasi 40% dan penaakulan 25%. Domain kognitif yang paling
tinggi adalah aplikasi.
1.2 PISA
PISA (Programme for International Student
Assessment) dianjurkan oleh satu pertubuhan negara-negara maju dan
membangun iaitu OECD (Organisation for
Economic Cooperation and Development). Pada pertengahan tahun 1990, OECD
mula merancang pembentukan PISA dan kemudiannya dirasmikan pada tahun 1997.
Namun begitu, pelaksanaan PISA buat pertama kalinya diadakan pada tahun 2000.
Malaysia mula menyertai PISA pada tahun 2009 iaitu tahun keempat
pelaksanaannya.
PISA bertujuan mengukur
pencapaian murid berumur 15 tahun ke atas dalam domain literasi matematik,
literasi sains dan juga literasi bacaan untuk menilai pengetahuan dan kemahiran
remaja untuk menjadi ahli masyarakat yang berjaya. Pada asalnya OECD ditubuhkan
untuk mentadbir rancangan penstrukturan semula negara Eropah selepas Perang
Dunia Kedua. PISA dilakukan atas desakan negara-negara ahli untuk mendapatkan
data yang relevan dan boleh dipercayai tentang pengetahuan dan kemahiran
pelajar serta system pendidikan negara mereka.
PISA ditaja, ditadbir dan diselaraskan oleh OECD manakala reka bentuk ujian,
pelaksanaan dan analisis data diwakilkan kepada konsortium antarabangsa di
institusi penyelidikan dan pendidikan yang diterajui oleh Majlis Penyelidikan
Pendidikan Australia (ACER). Tugas umum ACER ialah membangunkan dan
melaksanakan prosedur persampelan dan memantau hasil pensampelan di seluruh
negara. Selain itu, instrumen penilaian PISA juga dibina dan ditapis oleh ACER.
Di samping itu, ACER telah membangunkan sebuah perisian yang dikenali sebagai
KeyQuest untuk membantu pensampelan dan perolehan serta penganalisisan data.
OECD berpendapat bahawa PISA merupakan satu kaedah ujian yang sangat unik. Hal
ini demikian kerana PISA memberi manfaat daripada ciri-cirinya yang bersifat
universal iaitu dilakukan di hampir seluruh negara di dunia dan kekerapan
pelaksanaannya. Terdapat lebih daripada 70 buah negara di dunia yang mengambil
bahagian dalam pelaksanaan PISA setakat ini dan kaji selidik yang diberi setiap
tiga tahun membolehkan setiap negara untuk mengesan kemajuan mereka dalam
memenuhi matlamat utama pembelajaran. PISA juga adalah satu-satunya kajian
pendidikan antarabangsa untuk mengukur pengetahuan dan kemahiran daripada
remaja yang berumur 15 tahun iaitu usia pelajar di kebanyakan negara yang sudah
hampir kepada penghujung tahun wajib persekolahan.
Di Malaysia, sampel kajian dipilih dalam kalangan murid yang berumur 15 tahun
ke atas di semua jenis sekolah di seluruh Malaysia. Kaedah pemilihan sampel sekolah
adalah dengan menggunakan kaedah Stratified
Multi Stage Cluster Sampling. Melalui kaedah pemilihan ini, sebanyak 150
buah sekolah dipilih secara rawak dan kebarangkalian untuk setiap negara
menghantar semua sampel yang terdiri daripada sekolah yang cemerlang adalah
sangat tipis. Oleh yang demikian, satu sampel yang mempunyai kepelbagaian sama
ada dari segi latar belakang sekolah atau latar belakang sosioekonomi dapat
dihasilkan sekaligus menjadikan penilaian prestasi antara negara lebih
berkesan. Untuk sampel murid pula, sebanyak 35 orang murid dipilih secara rawak
dengan menggunakan aplikasi yang dibangunkan oleh ACER iaitu aplikasi KeyQuest.
Keunikan PISA juga dapat dilihat daripada pemeriksaan penguasaan kurikulum
tertentu di sekolah yang menilai keupayaan pelajar untuk mengaplikasi
pengetahuan dan kemahiran dalam bidang pengajian utama dan menganalisis,
menjelaskan dan berkomunikasi dengan berkesan di samping mereka meneliti,
mentafsir dan juga menyelesaikan masalah. Selain itu, pelajar tidak boleh
mempelajari kesemua perkara yang mereka perlu tahu hanya di sekolah. Dalam
usaha untuk menjadi pelajar yang mengamalkan kaedah pembelajaran sepanjang
hayat (lifelong learners) yang
berkesan, pelajar bukan hanya memerlukan pengetahuan dan kemahiran tetapi juga
kesedaran yang tinggi tentang tujuan dan kaedah mereka belajar. Oleh yang
demikian PISA menguji dan menilai prestasi pelajar di dalam literasi bacaan,
literasi Matematik dan juga literasi Sains di samping memupuk pelajar tentang
motivasi dalam diri mereka, kepercayaan kepada diri sendiri dan juga strategi
pembelajaran.
Rajah 2: Keunikan PISA
Untuk pemilihan soalan PISA, semua negara peserta dijemput untuk mengemukakan
soalan kepada kontraktor atau lebih dikenali sebagai konsortium antarabangsa.
Di samping itu, konsortium antarabangsa juga turut menulis beberapa soalan
dalam masa yang sama. Kemudiannya, soalan-soalan yang dikemukakan akan dikaji
semula oleh konsortium antarabangsa untuk memastikan soalan tidak bias kepada
sesuatu negara. Pemilihan dan penentuan soalan PISA dilakukan atas dasar sebuat
suara dan akan digunakan dalam PISA. Seterusnya, soalan yang telah dipilih akan
dijalankan secara percubaan bagi untuk mengenalpasti sama ada terdapat soalan
yang terlalu sukar atau terlalu mudah bagi sesebuah negara. Sekiranya terdapat
soalan yang terlalu sukar atau terlalu mudah, ACER bertanggungjawab
menggugurkan daripada ujian PISA sebenar.
Instrumen kajian PISA terdiri daripada empat perkara iaitu ujian bertulis, soal
selidik murid, ujian berkomputer dan juga soal selidik pengetua. Sehingga kini,
PISA telah menjalankan ujian menggunakan kaedah pensel dan kertas ujian (pencil-and-paper tests). Soalan ujian
terdiri daripada kedua-dua bentuk iaitu soalan objektif dan soalan yang
memerlukan pelajar untuk membina jawapan mereka sendiri. Bentuk-bentuk soalan
selalunya terdiri daripada beberapa potong ayat yang disertakan dengan gambar,
graf atau jadual yang menyatakan situasi kehidupan sebenar. Bagi ujian
bertulis, masa diperuntukkan kepada pelajar adalah selama 2 jam untuk menjawab
soalan. Item-item tersebut disusun dalam kumpulan berdasarkan teks yang
menggambarkan situasi dalam kehidupan sebenar.
Pada tahun 2009 dan 2012,
hanya beberapa negara telah memilih untuk menumpukan masa untuk penilaian
berasaskan komputer manakala pada tahun 2015 pelaksanaan PISA telah melibatkan
simulasi ujian berkomputer tanpa ada pengecualian. Ujian berkomputer pula
merangkumi sebanyak 18 hingga 20 soalan berbentuk penyelesaian masalah. Murid
akan menggunakan komputer untuk membuat simulasi sebelum menjawab soalan PISA.
Soal selidik murid
dilakukan untuk mengkaji latar belakang murid, persepsi dan juga sikap murid
terhadap subjek Sains, Matematik dan juga kemahiran membaca. Selain itu, soal
selidik ini juga menilai tahap motivasi dan amalan strategi pembelajaran murid.
Soal selidik pengetua pula bertujuan mengumpul maklumat berkenaan
sekolah.Maklumat soal selidik membantu negara untuk melihat perkaitan antara
keputusan PISA dengan faktor yang mempengaruhinya seperti jantina, perpindahan
sekolah, latar belakang sosioekonomi, sikap pelajar tentang sekolah dan
pendekatan pembelajaran yang digunakan.
Setiap negara peserta mesti menyediakan sampel sekurang-kurangnya 5000 pelajar.
Namun begitu, sekiranya negara tersebut mempunyai bilangan penduduk yang
sedikit, maka keseluruhan kohort akan diuji manakala bagi negara yang mempunyai
bilangan penduduk yang ramai, maka sampel lebih besar diperlukan untuk
perbandingan antara wilayah. Untuk penskalaan data pula, markah diskalakan
supaya purata setiap domain adalah 500 dan sisihan piawai adalah 100. ACER
telah melantik beberapa orang penanda ujian PISA yang ditauliahkan bagi setiap
negara untuk menanda skrip jawapan PISA menggunakan panduan yang telah
ditetapkan oleh pakar PISA. Penandaan skrip disilang periksa oleh pakar lain
bagi meminimumkan kesalahan yang dilakukan ketika melakukan penandaan. Data
akhir akan dihantar ke OECD untuk menentukan kedudukan PISA bagi negara yang
mengambil bahagian.
No comments:
Post a Comment